03 June 2007

Berpantang Tradisional Melayu

[Credits to: ZORADATOLAKMA BT HJ DIN]

Bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar bila tamat tempoh berpantang, anda tetap kelihatan segar semula seperti sebelumnya.

Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.

Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini boleh dibeli di pasar harian.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, bolehlah mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran.

Kini terdapat pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan banyak lagi.

RAWATAN TRADISIONAL

Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang.

Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.

Misalnya, cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua dan rahsia yang menjadi amalan mereka.

Walau apa jua cara yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika bersalin dan selepas bersalin.

Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka. Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita.

Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan lain-lain lagi.

Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu.

Antara rawatan tersebut adalah bertungku, berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.

BERTUNGKU

Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku.

Biasanya tungku diperbuat daripada besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan.

Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.

Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia.

Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan.

Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.

Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari/ bawah pusat dan di atas perut (bawah buah dada).

Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.

Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah.

Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku.

Justeru, bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.

BERURUT MENYEGARKAN BADAN

Urut juga merupakan amalan penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman.

Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut. Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44 diikuti pada hari ke 60 dan ke 100 selepas berpantang.

Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam.

Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.

Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi.

Namun jika rajin kita sendiri boleh membuat minyak urut.

Berikut adalah ramuan dan cara membuatnya:
  • Minyak kelapa [Dibuat sendiri menggunakan santan daripada sebiji kelapa, dimasak hingga menjadi minyak]
  • 3 camca besar halba
  • 4 cm halia (Zingiber officinale)
  • 4 cm kunyit hidup (Curcuma domestica)
  • 3 ulas bawang putih (Allium sativum)
  • 5 biji bawang merah (Allium cepa)
  • Cara membuat: Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Masak bersama halba dan minyak hingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama.

MANDI

Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.

[A] Mandi Dedaun

Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri.

Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang.

Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi (Vitex negundo), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai (Lawsonia terma), daun bonglai, daun mengkudu (Morinda citrifolia) dan rempah halba.

Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.

Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi:

  • 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
  • 10 helai daun limau purut
  • 6 batang daun serai bersama serai
  • Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
  • 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
  • 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
  • Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
  • Segenggam halba (dipunjutkan)

CARA MENYEDIAKAN AIR MANDI:

  • Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
  • Sediakan bahan-bahan di atas.
  • Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
  • Masukkan halba yang dipunjutkan.
  • Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.

Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.

Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri.

Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.

Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.

Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot disamping menghalang air dari masuk ke dalam badan.

Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.

[B] Mandi Lulur

Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit.

Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong dan daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.

Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal.

Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita.

Kebanyakan ramuan mandian yang digunakan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.

BERTANGAS

Ia dilakukan selepas mandi.

Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan prolapse (keluar tombong).

Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.

Ramuan Tangas:

  • 9 keping asam gelugur
  • 2 camca besar garam jantan
  • 3 helai daun sirih (Piper betel)
  • Segenggam inai (Lawsonia terma)
  • Halia sebesar ibu jari (Zingiber officinale)
  • 3 biji manjakani
  • Caranya : Rebus semua bahan bersama air hingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit.

PEMAKAIAN PARAM, PILIS, TAPEL, JADAM DAN BENGKUNG

Selain dari rawatan dalaman, kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran.

Antaranya ialah pemakaian param ke seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis.

Pilis disapukan memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita bersalin.

Seterusnya sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel (ubat barut) yang dicampurkan dengan 5 titik minyak kayu putih, 3 titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis.

Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.

Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut.

Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut:

  • Segenggam jadam (diperbuat dari kayu gaharu atau lidah buaya)
  • Halia (Zingiber officinale) sebesar ibu jari
  • Isi kunyit terus sebesar ibu jari
  • 3 ulas bawang putih (Allium sativum)
  • Asam jawa (Tamarindus indica) sebesar bola ping-pong
  • Secawan air kosong
  • Periuk tembikar dan sudip
  • Cara membuatnya: Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga mengggelegak.

Cara menyapu jadam:

Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya untuk lebih kemas pakailah bengkung.

BERBENGKUNG

Bengkung haruslah diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara.

Ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung.

BERTASAK

Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan.

Sebaiknya ia dimulakan selepas seminggu bersalin, dan diminum selepas makan.

Ia hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari pagi dan petang. Setiap tiga hari, bahan berlainan digunakan.

Caranya: Bahan-bahan ditumbuk sehingga lumat, dicampur setengah cawan air, ditapis dan diminum.

Pada hari pertama hingga ketiga: Segenggam daun inai iaitu Lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama sainsnya Piper nigrum.

Pada hari keempat hingga keenam: Gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan.

Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan: Bahannya adalah 5cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.

MINUM AKAR KAYU DAN JAMU

Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional.

Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan disamping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.

Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan.

Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.

MAKANAN BERKHASIAT UNTUK YANG BERPANTANG

Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan, samalah seperti mandi tidak bersabun.

Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim.

Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan.

Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya.

Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang.

Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Apa yang nyata, mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.

Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus.

Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu.

Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu disamping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang.

Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu.

Cara makannya: Ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar.

Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi dimana seseorang terasa sangat kenyang.

Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik & Dietari di Institut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu, makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin.

Masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain.

---------------------------------------------------------

CARA-CARA MENGIKAT BENGKUNG:

1. Sempurnakan ikatan barut.

2. Ikat satu hujung kain pada tombol pintu atau dipegang pembantu. Lilit bermula di bawah paras punggung. Pastikan satu hujung kain pendek, agak-agak melepasi kepala. Bahagian berkenaan dijadikan tulang bengkung.

3. Lilitan dipusing ke belakang, apabila tiba di depan, simpul pada bahagian pendek, kemudian pusing ke belakang semula.

4. Bahagian depan siap diikat.

5. Bahagian belakang, dililit kemas dan bertindih setiap satunya.

Makanan yang menyumbang kepada penghasilan angin di dalam perut:

1. Legumes: Kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.

2. Susu dan hasil susu: Susu, aiskrim dan keju.

3. Sayur-sayuran: Kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga, asparagus, timun dan brokoli.

4. Sayuran berubi: Kentang dan sengkuang.

5. Buah-buahan: Prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic.

6. Bijirin dan roti: Kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri.

7. Makanan berlemak: Makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos tartar.

8. Cecair: Minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk.

9. Seserat (fiber): Kacang, oat, bran dan kacang panggang.

Wallahu a'lam.

1 comment: